Menolak Rezeki

Menolak Rezeki


Tong sampah besar sebiji dikunjungi setiap hari mencari rezeki 


sehari dia cuti terbuang selori rezeki,dimakan api atau bumi 


pernah dia berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik si cuai yang kaya 


tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak 
mimpi siang hari. 


Hari ini dalam kesibukan kerja biasa 


terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing 
melihat matanya. 


"Ah, yang ini susah nak jual," kuis tangan kirinya lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki.


                                                       Irwan Abu Bakar (Dewan Sastera, April 2003)




Perbincangan:- (http://bahasamelayuuniversiti.blogspot.com)


1.Pada pendapat anda apakah tema dan nada sajak ini dan makna eksplisit dan implisit yang hendak disampaikan oleh penyajak kepada pembaca, mengikut pemahaman masing-masing.

2.Apakah yang dimaksudkan dengan rangkai kata “Ah, yang ini susah nak jual”… mengikut penggunaannya dalam sajak tersebut.

3.Apakah pengajaran yang boleh diperolehi melalui sajak “Menolak Rezeki” ini.

Tema 'kemanusiaan' dengan nada yang agak sinis.


Makna Eksplisit

Secara rambang puisi ini menceritakan watak utama seorang 'dia' yang kerjanya saban hari adalah berada di tempat pembuangan sampah.

Tidak lain hanya menyelongkar timbunan sampah-sarap; demi mencari benda-benda atau barang-barang buangan yang masih boleh diguna pakai, kemudian untuk dijualkan kepada peraih(karung guni).

Pernah sekali 'dia' menjumpai sebungkus wang terbungkus dalam beg plastik yang berkemungkinan telah tercicir atau terbuang oleh seseorang(dikenali sebagai 'si cuai yang kaya).

Kemudian, seperti hari-hari biasa juga, 'dia' kembali mencari sesuatu benda yang berharga di tempat pembuangan sampah tersebut. Lalu secara tidak sengaja, 'dia' terjumpa seorang bayi (dalam bungkusan dan bayi itu tersenyum kepada 'dia') tetapi tidak diendahkannya. Kerana 'dia' menganggap bayi itu sukar untuk diniagakan (susah untuk dijual). 'Dia' kemudian kembali meneruskan pencarian(rezekinya) tanpa peduli atau menghiraukan hal-hal yang lain.


Makna Implisit (tersirat)

Sajak yang berupa kritikan sosial dalam masyarakat.

Perlambangan tong sampah merupakan satu perlambangan yang jijik dan meloyakan tekak dan biasanya dengan pemandangan yang amat menyakitkan mata .

Secara tersirat TONG SAMPAH BESAR itu mungkin mewakili sebuah kompleks pelacuran , kawasan pelacuran ataupun komplek perjudian ataupun untuk nilai “ universal “ atau “world view” nya mungkin seluruh penghuni dunia ini dan isi-isinya sekarang yang banyak dan kucar-kacir dan berkiblatkan harta-benda ( kalau di Kuala Lumpur semua orang tahu di mana terletaknya kawasan “ sampah “ tersebut ) .

Tong sampah yang besar itu mengumpulkan pelbagai jenis kelas masyarakat. Ada yang menjadi pelacur (sampah ) ada yang menjadi penagih dadah (sampah ) ada yang menjadi gangster (sampah) penipu (sampah) pemeras ugut (sampah) pondan / bapok / bohjan / bohsia untuk mencari kepuasan seks (sampah) penjudi (sampah masyarakat dan pelbagai lapisan sampah lagi golongan masyarakat sampah.


Jawapan 2:

rangkai kata 'yang ini' yang dimaksudkan kepada 'bayi' yang dijumpai oleh 'dia' itu.

Memang pun (kalau kita) memang tidak kita jual, malah kita ambil dan serahkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat atau buat laporan polis.

sebagai manusia biasa mungkin akan timbul rasa tidak tergamak untuk melakukan kerja 'berjual-beli manusia' itu(secara normal dan logik akal).

Tetapi berlainan pula kepada watak 'dia' yang lebih mementingkan 'perut'nya dan kerjanya agar biar menjadi mudah dan tidak menyusahkannya di kemudian hari.


3.Pengajaran
Sifat materialistik manusia menyebabkan kuasa 'wang‘ menjadi lebih kuat kesannya kepada manusia jika dibandingkan dengan 'seorang bayi' yang belum tentu lagi mendatangkan keuntungan secara material, terutama kepada watak 'dia' ini.

Sifat kemanusiaan perlu ada dalam diri setiap manusia. watak 'dia' ini membawa contoh atau mewakili manusia yang zalim, tidak berperikemanusiaan, dan hanya mementingkan kebendaan dan ternyata apabila dia tidak menolong bayi tersebut.





Huraian Dalam http://www.esastera.com/kursus/kepenyairan.htm


Ulasan Oleh Nakhoda 


Prakata 


Pertama: saya mengucapkan tahniah kerana puisi Prof. Drirwan (penyair) berjudul 'Menolak Rezeki' tersiar di majalah Dewan Sastera, April 03. 
Kedua: ribuan terima kasih kerana memberikan keizinan kepada saya untuk membuat ulasan secara sederhana. Dan ini suatu penghormatan tertinggi buat saya. 


Ulasan 



Telah saya baca berulangkali puisi 'Menolak Rezeki' ini; 2 kali demi menghayati dan 3 kali untuk memahami. Selepas itu, barulah saya berupaya mendapat semangat untuk memulakan tugasan. 


Secara rambang puisi ini menceritakan watak utama seorang 'dia' yang kerjanya saban hari adalah berada di tempat pembuangan sampah. Tidak lain hanya menyelongkar timbunan sampah-sarap; demi mencari benda-benda atau barang-barang buangan yang masih boleh digunapakai, kemudian untuk dijualkan kepada peraih(karung guni). Pernah sekali 'dia' menjumpai 
sebungkus wang terbungkus dalam beg plastik yang berkemungkinan telah tercicir atau terbuang oleh seseorang(dikenali sebagai 'si cuai yang kaya). Kemudian, seperti hari-hari biasa juga, 'dia' kembali mencari sesuatu benda yang berharga di tempat pembuangan sampah tersebut. Lalu secara tidak senghaja, 'dia' terjumpa seorang bayi(dalam bungkusan dan bayi itu tersenyum kepada 'dia') tetapi tidak diendahkannya. Kerana 'dia' menganggap bayi itu sukar untuk diniagakan(susah untuk dijual). 'Dia' kemudian kembali meneruskan pencarian(rezekinya) tanpa peduli 
atau menghiraukan hal-hal yang lain. 


Puisi ini apabila telah kita hayati dan mengerti setiap susuk mahupun teluk, tidak mungkin kita berasa kekok ataupun teruk. Segala-galanya menjadi mudah dan lurus terarah, kerana penyair ini tidak langsung 
terkesan menggunakan/menyelitkan sebarang metafora, personifikasi, simile ataupun alusi; kecuali gaya 'Inversi' dan 'Hiperbola' yang mungkin wujud/diwujudkan secara senghaja/tidak senghaja oleh penyair sewaktu garapan dilakukan. 


Bukti-bukti kedapatan gaya 'Inversi'(gaya penegasan) adalah melalui petikan-petikan berikut: 


1.~Tong sampah besar sebiji.... 
Kelaziman tatabahasa dibaca-tulis begini; 
'Sebiji tong sampah besar....' 
2.~sehari dia cuti.... 
Kelaziman tatabahasa dibaca-tulis begini; 
'dia cuti sehari....' 
3.~pernah dia berjumpa 
Kelaziman tatabahasa dibaca-tulis begini; 
'dia pernah berjumpa....' 
4.~terjumpa dia bungkusan 
Kelaziman tatabahasa dibaca-tulis begini; 
'dia terjumpa bungkusan....' 


Alasan terjadinya 'kejadian pembalikan kata-kata' ini boleh diterima-pakai kerana penyair menyenangi 'gaya' sedemikian (mungkin juga hasil pengalaman yang lama dan luas) dan memungkinkan juga timbul situasi 
'kepuitisan' bahasanya tatakala dibacakan. Keempat-empat situasi penggunaan gaya "Inversi' itu semata-mata mahu menegaskan/menekankan sesuatu babak peristiwa(termasuk menimbulkan suasana dan latarnya) 
yang telah terjadi dengan mendahulukan beberapa kata-kata seperti; 
~Tong / ~sehari / ~pernah / ~terjumpa. Tentu ini menimbulkan implikasi yang lebih realisitik kepada kesan bacaan tentunya. 


Manakala gaya perbandingan 'Hiperbola'(gantian perkataan asal kepada lain perkataan-menimbulkan gambaran perbandingan yang berlebih-lebihan 
daripada biasa) adalah seperti petikan-petikan berikut: 


~Tong sampah besar sebiji (dikunjungi).... 
~....(terbuang) selori rezeki.... 
~"Ah, yang ini susah nak jual,"(kuis).... 
~lalu ia terusi tugas sehari-hari (mengais).... 


Hasrat penyair menggunakan perkataan-perkataan; ~dikunjungi / ~terbuang 
/ ~kuis / ~mengais itu jelas menggambarkan beliau mahu membuat secara senghaja suatu 'penekanan' untuk menimbulkan kesan kejadian yang berlaku dalam babak tersebut (menguasai perasaan dan pandangan) dan mahu pembaca turut 'merasa' bersama watak 'dia' yang melakukan setiap aksi(kesan 'virtual reality' juga boleh ditakrifkan di sini) lantas menimbulkan kesan 'kejiwaan' yang mendalam (mungkin hingga menimbulkan rasa jijik/mual/kasihan/simpati/dll) kepada diri pembaca. Hasrat penyair yang semamangnya membawa berkat. 


Hasil penggunaan kedua-dua gaya (Inversi dan Hiperbola) tadi, penyair telah dengan senghaja memanipulasikan 'langgam bahasa' secara bijak 
lagi kreatif (dialog bercampur naratif) sehinggakan tidak terasa oleh kita bahawa susunan baris-baris puisi ini sebenarnya menyerupai sebuah puisi prosa yang sederhana panjang dan kalau disusun-aturkan semula 
akan menjadi sebuah bentuk yang lain (tidak saya bercadang melakukan sebarang perubahan di sini) dan memungkinkan ulasan yang bercorak lain 
pula. Penyair peka kepada apa yang beliau karangi dan bentuk itulah yang beliau senangi. Saya akur hal ini.



Ulasan II


Menyentuh pula soal 'bunyi' iaitu mencari keindahan (seni bunyi) yang berupa 'irama dan rima' yang semacam memberikan 'nafas dan nyawa' kepada 'hayat dan usia' sesebuah karya itu agar sentiasa 'segar dan
hidup' setiap kali dibaca. Ternyata puisi 'Menolak Rezeki' ini bernada 'sinis' yang jelas menyangkuti tema 'kemanusiaan' yang mendalam (secara
psikologi). Saya menurunkan beberapa petikan rima yang kedapatan pada puisi ini (lebih merupakan 'aksesori' wajib/penting) seperti di bawah:

1.~....sebij(i) dikunjung(i)....hari(i) mencar(i) rezek(i)
Pengulangan vokal "i" sebanyak 5 kali
2.~sehar(i)....cut(i)....selor(i) rezek(i)....ap(i) atau bum(i)
Pengulangan vokal "i" sebanyak 5 kali
3.~tapi(i)....kin(i)....in(i)....lag(i)....mimp(i)....har(i)
Pengulangan vokal "i" sebanyak 6 kali
4.~Har(i) in(i)....
Pengulangan bunyi vokal "i" sebanyak 2 kali
5.~....beris(i) bay(i)....
Pengulangan vokal "i" sebanyak 2 kali
6.~....terus(i) sehari(i)-har(i)....is(i)....rezek(i)
Pengulangan vokal "i" sebanyak 5 kali

Memang puisi ini teramat 'mewah' dengan keindahan bunyi-bunyian rima 'asonansinya' dan kemungkinan rasa jemu membaca dan menghayati puisi
ini berulang-kali amat tipis (puisi ini tidak tawar dan hambar malahan segar). Penyair, saya anggap telah melalui suatu proses 'pencernaan' termasuk 'pemeraman') yang cukup teliti dan rapi serta yakin dengan penghasilan beliau ini. Siratan rima yang sebegini adalah bagaikan anyaman tikar (pandan atau mengkuang) yang diselang-selikan dengan
warna-warni di permukaannya; tentu tampak lebih menarik dan cantik dan terasa selesa pula kalau disinggahi punggung.

Kemudian, saya mencari-cari pula kalau-kalau kedapatan rima 'aliterasi' yang turut mengongsi situasi ini, dan saya terjumpa 'satu'; mungkinkah
ini benar atau samar-samar, tapi saya yakin dan membuat petikannya seperti berikut:

~....bungkusan berisi bayi....

Awalan (bu) / (be) / (ba) itu kalau dibaca akan dapat menimbulkan kesan 'kesedapan' pada rongga mulut(bacaan) dan cuping telinga (pendengaran).
Adakah ini suatu kebetulan atau sememangnya usaha gigih dan kerja keras telah dilakukan oleh penyair dalam menggali 'teras' yang sememangnya
memerlukan keperihatinan yang mendalam. Kelebihan penyair tergambar dari ketelitian beliau memilih dan menyesuaikan 'kata-kata' kepada puisi beliau yang berbentuk begini. Dengan bantuan kreativiti diri yang
terbiasa bermain-main dengan gelombang 'bahasa' segalanya memungkinkan menjadi nyata.

Saya juga membuat beberapa petikan rangkaikata yang saya anggap sebagai rasuk dan sendi kepada keseluruhan binaan puisi ini. Juga ia boleh
dianggap sebagai menarik dan melambangkan ayat-ayat yang cukup matang dan melambangkan kebijaksanaan penyairnya:

~selori rezeki / ~wang selaksa / ~si cuai yang kaya / ~mimpi siang hari
/ ~kesibukan kerja biasa / ~tersengih sumbing / ~terusi tugas /
~mengais isi tong

Manakala saya dapati perkataan 'selaksa' digunakan. Mengapa tidak digunakan perkataan yang lain seperti 'seuncang/sebuntil/sekarung/seguni/dll. Mungkin ini lebih tepat mengikut Kamus Dewan-Ke 3 yang menyatakan 'berpuluh-puluh ribu wang' yang saya rasa lebih menepati pilihan tersebut dan sesuai digunapakai.

Sebegitu perkataan 'terusi' saya mencari dalam Kamus Dewan-Ke 3 tetapi gagal menemukan perkataan 'terusi' yang membawa maksud bersesuaian dalam konteks puisi ini. Perkataan 'terusi' yang saya temui adalah
membawa maksud 'benda asal daripada tembaga dan berwarna kebiru-biruan. Bagaimanapun, saya rasa/fikir penyair menganggap perkataan 'terusi' pilihan beliau itu membawa maksud 'meneruskan' tugas (terusi tugas).
Dimana penyair mahu menyesuaikan bunyi ("i") disepanjang-panjang ayat yang beliau gunakan agar timbul rima bunyi yang setara dan merdu pula
jadinya rangkaikata tersebut. Alasan-alasan ini diperbolehkan mengikut situasi tertentu dan kekecualian diberikan. Dan ini memang sewajarnya
diperbolehkan dalam kedudukan/kebenaran 'poetic licence'.



Ulasan III


Tiba pula kepada sesuatu yang saya anggap sebagai 'hadiah istimewa' kepada para pembaca, iaitu puisi berbentuk naratif ini menghidangkan
kita dengan sebuah dialog, yang begitu ketara dan menonjol sekali. Soalnya, kenapa dan untuk apa diwujudkan 'dialog' ini dan apakah kepentingannya dalam puisi yang sebegini? Bolehkah kalau ditiadakan
atau bagaimana kalau digantikan pula pengkisahan secara naratif, akan adakah penyesuaiannya?

Mari kita menelusuri semula puisi ini dengan memberikan penumpuan utama kepada keupayaan penghayatan kita (mengikut tahap ilmu masing-masing)
dengan lebih peka dan teliti (rangkap demi rangkap-baris demi baris) dan cari jawapannya satu persatu. Lihat perkaitan diantara rangkap satu dengan rangkap dua dengan rangkap tiga; juga setiap baris perkataan
itu juga dikaitkan (bagai gerabak keretapi) disusunatur mengikut kepentingan masing-masing dan memudahkan pula pemahaman kita (tidak sekali-kali menglirukan).

Kemudian cuba baca sekali lagi (rangkap pertama dan kedua....dan terus berhenti) dan rasakan apa yang berlaku? Tentunya kita merasakan sesuatu
'kekurangan' atau bagaikan ada yang tidak beres atau ceteranya seolah-olah 'tergantung' bukan? Iya!, kerana puisi ini secara sulit tetapi jelas mempunyai struktur binaan yang menyerupai anyaman 'Cross Stitch'
yang kait-mengait antara satu sama lain kemudian terserlahlah keindahan dan kemurniaannya setelah dianyam secara keseluruhan. Sudah tentu puisi
ini terbahagi kepada 3 bahagian utama yang terpenting:

1.Rangkap pertama - pembuka cetera (pemula dakian dan isi cetera)
2.Rangkap kedua - klimaks cetera (puncak penceritaan)
3.Rangkap ketiga - anti-klimaks (penurunan menutup penceritaan).

Nah! sudah nyata buktinya, penyair telah membuat 'ikatan-ikatan' sulit tertentu yang dikenali sebagai 'invisible string' yang tidak sekali-
kali memungkinkan struktur puisi ini diasing-asing atau dipecah-pecah lagi demi dikompreskan untuk mendapatkan 'penyejatan' selanjutnya.
Pasti suatu rombakan yang 'menyukarkan' pencernaan semula akan terjadi kalau perkara tadi berlaku. Dan 'dialog'(di rangkap ketiga) itu memang
perlu/wajar/wajib kita baca untuk mendapatkan 'kepuasan' terakhir kepada kesimpulan cetera di rangkap pertama dan kedua. Tetapi 'dialog'
itu sendiri diwujudkan oleh penyair bukan semata-mata secara 'tersurat' malah ada makna tertentu yang 'tersirat' juga, yang perlu kita cari makna dan gali maksudnya yang asli.

Dialog yang berbunyi....

"Ah, yang ini susah nak jual,"....

Apa yang susah mahu dijual itu? Tentulah cukup menarik perhatian kita adalah perkataan 'yang ini' yang secara harfiahnya dimaksudkan kepada
'bayi' yang dijumpai oleh 'dia' itu. Memang pun (kalau kita) memang tidak kita jual, malah kita ambil dan serahkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat(lapur polis dulu) dan tidak kita tergamak untuk melakukan
kerja 'berjual-beli manusia' itu(secara normal dan logik akal). Tetapi berlainan pula kepada watak 'dia' yang lebih mementingkan 'perut'nya dan kerjanya biar mudah dan tidak menyusahkan (kemudian hari) dan
tidak tergendala, kerana kerja pantas demi tidak mahu segala rezekinya yang lain itu....'dimakan api atau bumi'. Watak 'dia' lebih menyenangi jumpaannya....'sebuah beg plastik berisi wang selaksa' dan tidak sudah-sudah 'dia' terkenang akan peristiwa itu bagai digambarkan...'peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak mimpi siang hari'. Jelaslah kepada
kita bahawa kuasa 'wang' lebih kuat kesannya keatas manusia jika dibandingkan dengan 'seorang bayi' yang belum tentu lagi mendatangkan keuntungan secara material, terutama kepada watak 'dia' ini.

Terfikir oleh kita betapa bodoh, dungu, baghalnya watak 'dia' ini atau mungkin kita menuduh pula 'dia' sebagai manusia yang zalim, tidak berperikemanusiaan, mementingkan kebendaan dan ternyata 'dia' itu
telah 'Menolak Rezeki'(judul tepat bagi puisi ini). Dan kalau kita, belainan pula 'sequel' cetera puisi ini. Tetapi itulah, kesan yang sememangnya ingin ditimbulkan secara senghaja oleh penyair; semoga terpercik rasa kemanusiaan dan ehsan dari dalam lubuk jiwa kita,
apabila kita membaca keseluruhan puisi ini dengan jiwa dan akal yang terkawal secara normal. Kalau kesan 'rasa' itu cukup kuat, maka itu petanda kita masih berjiwa manusia dan kita msih beriman dengan Tuhan.

Apakah 'moral cetera' puisi ini atau mungkinkah ada terselit sekelumit apa yang digelarkan 'flasafah hidup' yang diterapkan oleh penyair secara bijaksana di dalam siratan perkataan-perkataan yang mempunyai
kesan perasaan yang tersendiri? Itu saya rasa ada kewajarannya dicari jawapannya oleh para pembaca sendiri (sebagai suatu latihan minda). Agar dapat kita elakkan budaya 'spoon feeding' atau lebih wajar kalau
belajar menghadapi kesukaran 'mencari jarum dalam jerami padi'.


Kesimpulan


Mungkin ada para pengulas dan pengkritik (yang bertauliah) di luar sana atau di komuniti ini tentunya; sdr Has1mah, Zainallasim, Abdullatip atau Gravesdigger dan lain-lainnya yang mempunyai sesuatu 'penemuan'
atau 'pandangan' lain yang mahu dikongsisama dijadikan 'ilmu tambahan' maka saya cukup mengalu-alukan.

Kepada penyair (Prof Drirwan) memang saya cukup memahami corak dan gaya garapan, kerana kedudukan penyair sebagai seorang ilmuwan (juga wibawa
pengalaman-pengalaman belaiau) itu telah memberikan jaminan bahawa puisi ini dapat dipertanggungjawabkan sepenuhnya dari sebarang sudut; ekstrinsik mahupun intrinsiknya. Kalau pun ada 'ruang lompang' yang
kurang atau kekhilafan ditemui, anggaplah saya masih 'mentah' dan masih dalam peringkat pembelajaran meningkatkan tahap ilmu diri. Bagai ada
perumpamaan menyebut, "kalau daging yang kita makan, tulangnya pun memadai kita sedekahkan kepada jiran"....maaf!





Ulasan Oleh Abdul Latip 

Saya belum dapat memiliki majalah Dewan Sastera April 2003 tapi saya ingin mengucapkan tahniah kepada drirwan kerana puisi berjudul “Menolak Rezeki” hasil karya beliau tersiar di majalah tersebut.

Mungkin ramai yang telah membaca ulasan oleh sdr nakhoda pada sajak tersebut di komuniti ini dan saya rasa ulasan itu amat menarik kerana itu bukanlah maksud saya hendak menyainginya. Cuma apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah terdapat kelainan pada tafsiran makna disebalik apa yang tersurat dari yang tersirat.

E.D HIRSCH mengatakan bahawa makna karya ialah makna penghasilnya. Pembaca memperoleh signifikan karya setelah akal fikiran melakukan kerja mentafsirkannya.

A BAKAR HAMID pula mengatakan bahawa seseorang pengulas atau pengkritik mentafsirkan karya “saudaranya” dengan apa yang ada dalam karya. Oleh itu pernah berlaku penyair atau sasterawan mengagumi tafsiran yang dibuat oleh pengkritik atau pengulas kerana makna yang dikemukakan tidak terfikir oleh penyair ketika karya itu dihasilkan. Dalam keadaan ini pengulas atau pengkritik sebenarnya melakukan dua kerja serentak iaitu mengeluarkan makna yang ada dalam karya dan juga memberikan makna kepada karya tersebut.

Kali pertama membaca puisi “Menolak Rezeki” dari ulasan Nakhoda, saya nampak hanya yang lahir sahaja. Tetapi setelah membacanya berulang-kali barulah kita dapat merasakan ada sesuatu “kelainan” kerana itulah saya ingin berkongsi pendapat.

Dalam puisi “ Menolak Rezeki” ada tiga perlambangan yang perlu kita fikirkan maknanya; pertama “Tong Sampah Besar Sebiji” kedua “Dia” pencari rezeki dan ketiga “Bayi Yang Tersengeh Sumbing”

Secara zahirnya puisi ini mengisahkan seorang pengutip sampah (dia) mencari rezeki dengan menyelongkar barang-barang terbuang yang terdapat dalam tong sampah. Kerja seperti ini biasa kita lihat dimana-mana, cuma kebiasaanya orang kurang siuman sahaja yang menyelongkar tong sampah tetapi orang yang agak waras lebih suka mencari rezeki di tempat pembuangan sampah. (tempat terbuka)

Saban hari “dia pencari rezeki” akan menyelongkar tong sampah untuk mencari sesuatu yang boleh dijual. Walaupun kerja itu agak menjijikkan namun tidak menyalahi undang-undang dan tidak siapa boleh menghalang. Kabarnya ada yang bernasib baik mendapat barang berharga yang dibuang oleh orang kaya yang cuai. Tetapi “dia” dikatakan menolak rezeki kerana tidak menghiraukan bayi yang dijumpainya dalam tong sampah kerana menganggap bayi itu “susah nak dijual.”

Maka disinilah timbulnya istilah menolak rezeki kerana kalau bayi itu dibawa pulang ke rumah, dibuat lapuran polis dan dibuat permohonan sebagai anak angkat, atau dijual kepada mereka yang memerlukan maka akan timbuil pula istilah “mendapat rezeki.”.
.
Persoalannya, kalau tin buruk, botol kosong, besi buruk dan surat kabar lama boleh dijual oleh pengutip sampah, kenapa tidak dengan bayi?. Kecuali kalau bayi itu sudah mati, tetapi bayi dalam puisi ini masih hidup kerana tersengeh sumbing semasa dijumpai. Maka di sinilah kita berpendapat ada makna yang tersurat di sebalik yang tersirat.

Cuba kita perhatikan kata-kata dipermulaan puisi tersebut;

Tong sampah besar sebiji
dikunjungi setiap hari
mencari rezeki

Makna “Tong sampah besar sebiji” itu bukanlah tong sampah dalam arti kata yang sebenar kerana kalau tong sampah sebenar, ayatnya “Sebiji Tong Sampah Yang Besar”. Tetapi bila disebut “Tong Sampah Besar Sebiji” boleh membawa maksud sebuah parti politik yang berpengaruh di negara kita. (maaf kerana saya tak sebut nama)

Mungkin ada yang mengatakan itu sekadar permainan kata-kata penyair, tapi bagi saya ayat itu boleh diartikan sebagai ada makna disebaliknya. Mungkin juga nanti drirwan akan kata maksud sebenarnya memang ‘Tong Sampah’ dan puisi ini tidak ada kaitan dengan politik. Tetapi sebagai pembaca yang ingin memahami makna disebalik kata-kata itu tidak salah kan kalau saya mentafsirkannya begitu. Mungkin juga nanti akan ada yang menuduh saya sengaja mempolitikkan sajak “ Menolak Rezeki”. Walau apapun saya akan terima kerana itulah perspektif saya dalam usaha mencari kelainannya.

Pencari rezeki (dia) yang dimaksudkan dalam puisi ini pula ialah seorang ahli politik yang berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri. Manakala bayi yang dijumpai itu ialah anak bangsa sendiri yang naif terbiar mengharapkan pembelaan namun tidak dipedulikan kerana sang politik sentiasa sebuk dan lebih mengutamakan kepentingan sendiri.

Seperti mana yang kita maklum, sekarang ini ramai yang masuk politik dengan berbagai tujuan atau matlamat. Ada yang menceburkan diri di gelanggang politik untuk mendapatkan kuasa dan harta. Ada pula masuk politik kerana marahkan seseorang atau membela “heronya” yang dirasakan dizalimi. Malah ada juga yang menjadikan agama sebagai cara untuk meraih sokongan. Tetapi di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, perkara ini jarang berlaku. Ahli politik berjuang untuk bangsa, agama dan negara. Contohnya, ketika orang-orang Melayu tidak mempunyai tanah maka dibuka tanah rancangan FELDA, FELCRA dan sebagainya. Ketika orang-orang Melayu tidak mendapat pendidikan tinggi maka di wujudkan Universiti-Universiti dan anak-anak Melayu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Ketika orang-orang Melayu lemah di bidang ekonomi maka di wujudkan DASAR EKONOMI BARU, ditubuhkan MARA dan sebagainya..

Tetapi apabila masa berubah maka perjuangan politik juga turut berubah. Kalau dulu mereka berjuang semata-mata untuk bangsa, agama dan tanah air tetapi sekarang ada diantara mereka hanya memperjuangkan nasib sendiri. Ibarat pengutip sampah seperti yang digambarkan dalam puisi itu, lebih mementingkan duit dari nyawa seorang bayi.. Jika pengutip sampah menjadian tong sampah sebagai sumber rezekinya maka ahli politik menjadikan partinya sebagai landasan untuk mengubah taraf hidupnya. Namun kita akui tidak semua ahli politik begitu kerana masih ada yang ikhlas berjuang demi untuk bangsa agama dan tanah air. Ahli politik seperti itu akan disanjung semasa hidupnya dan akan dikenang budinya setelah kematiannya.
.

Sehari dia cuti
terbuang selori rezeki,
dimakan api atau bumi

Bagi ahli politik yang tamakkan harta dan kuasa, tidak ada istilah cuti dalam kerjayanya. Dia sanggup bekerja siang dan malam. Setiap saat baginya amat berharga dan tidak mahu rezeki terlepas ke tangan orang lain ketika dia bercuti. Yang dimaksudkan dengan dimakan api atau bumi itu ialah dia takut rezekinya akan dirampas oleh pihak lawan atau saingannya dalam parti semasa dia bercuti. Atau boleh juga dikatakan, kalau dia melepaskan peluang nescaya orang lain akan merebutnya.

pernah dia berjumpa
sebuah beg plastik berisi wang selaksa
milik si cuai yang kaya

Mengikut apa yang tertulis ialah “ berjumpa” bukan “terjumpa”. Ayat berjumpa dengan terjumpa ada kelainan maknanya. Dalam puisi tersebut, dia (pencari rezeki) berjumpa sebuah “beg plastik berisi wang”. Ini bermakna beg plastik berisi wang itu bukanlah beg plastik dalam arti kata yang sebenarnya. Ia boleh diistilahkan sebagai “orang kaya” yang dijumpainya setelah mendapat tempat dalam parti. Dia tertarik berjuang dalam politik bila melihat kawan-kawannya menjadi kaya raya setelah aktiv dalam politik kerana mendapat “tongkat” dari mereka yang berkuasa. Dia juga berharap akan beroleh laba seperti kawannya..

tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak
mimpi siang hari.

Namun impian itu hanya tinggal impian ibarat mimpi di siang hari kerana harapannya untuk mendapat yang bulat datang menggolek atau yang pipih datang melayang, masih belum menjadi kenyataan. Namun dia masih tidak putus ada dan terus berusaha.

Hari ini dalam kesibukan kerja biasa
terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengih sumbing
melihat matanya.

Politikus yang berjuang hanya untuk kepentingan diri sendiri sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan yang pastinya mendatangkan “laba”. Dia lupa diri dan mabuk dengan kuasa dan kekayaannya. Akibatnya dia tidak menghiraukan nasib anak bangsanya yang mengharaapkan bantuan dan pembelaan. Paling malang bila ada rakyat marhain yang ingin meminta pertolongan dianggap hanya membuang masa dan tidak membawa keuntungan kepada dirinya.

Terjumpa dia bungkusan berisi bayi yang tersengeh sumbing

Dalam ayat ini perkataan yang digunakan ialah “Terjumpa” berbanding dipermulaan tadi “Berjumpa”. Bungkusan berisi bayi yang tersengeh sumbing itu boleh membawa makna, anak bangsanya yang terbuang, terbiar, tidak dipedulikan. “Dia” dimaklumkan perkara itu namun hatinya merasa meluat melihat muka anak bangsanya yang serba kekurangan.

Pada kebiasaannya, wajah seorang bayi amat menawan. Mukanya jernih matanya bercahaya tanpa sedikit pun dosa. Tetapi apa yang dilihat oleh pencari sampah itu ialah muka bayi yang “Tersengeh Sumbing” menyakitkan mata memandang.

Kalau diibaratkan seorang pemimpin atau ahli politik, dia pasti merasa belas kasihan jika melihat anak bangsanya dalam keadaan lemah, miskin, mundur dan tidak berilmu pengetahuan. Sepatutnya dia membela anak bangsanya, bukan mencaci dan menghina ….opss.

"Ah, yang ini susah nak jual," kuis tangan kirinya
lalu ia terusi tugas sehari-hari mengais isi tong mencari rezeki.

Di sinilah letaknya keindahan puisi ini. Sesuai dengan tajuknya “Menolak Rezeki”, rezeki yang berharga itu hanya dikuisnya degan tangan kiri. Tangan kiri mempunyai perlambangan tertentu kerana tugasnya juga hanya untuk yang tertentu pula. Sebab itulah dikatakan kurang sopan kalau bersalam atau mengambil barang pemberian menggunakan tangan kiri.

Kalau seorang pemimpin mengambil berat nasib anak bangsanya, maka keuntungannya bukan sahaja oleh anak bangsanya tetapi juga terhadap dirinya juga kerana dia akan terus disanjung sehingga ke akhir hayat. Sebaliknya jika dia hanya asyik mementingkan perut sendiri akhirnya dia akan ditolak.. Maka di sini letaknya kewajaran istilah “Menolak Rezeki”.

Persoalannya, adakah wajar parti politik yang pernah berjasa suatu ketika dulu kini hanya diibaratkan sebagai “Tong Sampah?”. Adakah wajar semua ahli politik dianggap seperti pengutip sampah di tong sampah?.

Walaupun begitu saya harap ulasan ini tidak menyinggung mana-mana pihak terutama keluarga ahli politik. Anggaaplah ini cuma tanggapan seorang pembaca setelah meneliti puisi karya Drirwan yang berjudul “ “Menolak Rezeki”. .

Saya tidak akan menyentuh seni bunyi (pengulangan vokal), Inversi dan Hiperbola kerana telah disentuh dengan jelas oleh saudara nakhoda dalam ulasannya. Saya rasa dia lebih arif lagi dalam hal ini.

Kesimpulan

Puisi “Menolak Rezeki” memang menarik untuk diperkatakan dan tafsirannya terpulang kepada kita sendiri. Mungkin benarlah seperti kata tokoh saterawan tanah air kita yang mengatakan “ kekadang makna yang dikemukakan oleh pengulas tidak terfikir ketika karya berkenaan dihasilkan.” Akhir kata yang baik itu datangnya dari Allah SWT tapi yang silap itu daripada diri saya sendiri. Wassalam.


Ulasan Oleh Gravesdigger (Hata Ghazali)

SAJAK ini menggambarkan pemerhatian seorang pengkritik sosial yang hebat . Sememangnya seorang ahli sains biologi mempunyai taraf pemerhatian yang jitu. Sesungguhnya seorang jurutera sentiasa mempunyai citarasa rekacipta / rekabentuk yang mengkagumkan (saudara mshukrinasiar mesti setuju dengan pernyataan ini).

Perlambangan tong sampah adalah satu perlambangan yang jijik dan meloyakan tekak dan biasanya dengan pemandangan yang amat menyakitkan mata .

Pandangan “visual” sangat penting untuk melihat keindahan sajak ini. TONG SAMPAH BESAR itu mewakili sebuah komplek pelacuran , kawasan pelacuran ataupun komplek perjudian ataupun untuk nilai “ universal “ atau “world view” nya mungkin seluruh penghuni dunia ini dan isi-isinya sekarang yang banyak yang bobrok kucar-kacir dan berkiblatkan harta-benda ( kalau di Kuala Lumpur semua orang tahu dimana terletaknya kawasan “ sampah “ tersebut ) . Tong sampah yang besar itu mengumpulkan pelbagai jenis kelas masyarakat. Ada yang menjadi pelacur = sampah ; ada yang menjadi penagih dadah = sampah ; ada yang menjadi gangster = sampah ; penipu = sampah ; pemeras ugut = sampah ; pondan / bapok / bohjan / bohsia untuk mencari kepuasan seks = sampah; penjudi = sampah masyarakat dan pelbagai lapisan sampah lagi golongan masyarakat sampah.

Ada golongan yang kononnya tinggi tarafnya dalam masyarakat mengunjungi kawasan ini kononnya untuk membuang / membersihkan sampah atau terus lekat menjadi sebahagian sampah. Kalau seseorang yang berjawatan tinggi dalam masyarakat kerap mengunjungi tempat yang memang terkenal dengan sampah itu , maka kesimpulan mudah dapat dibuat iaitu untuk membeli dadah atau di situ ada sumber rezekinya yang lain – memperolehi rezeki melalui duit lendir atau lain-lain kegiatan haram.

Mungkin tafsiran sampah mesti dihalusi lagi. Sampah bagi “A” , mungkin barang berharga bagi ” B” ; sampah bagi “C” mungkin sebuah syurga bagi “D”. Sukar juga hendak memberi tafsiran yang tepat untuk makna sampah ini.

Sajak ini terdedah kepada tafsiran makro dan mikro. Saya tumpukan kepada tafsiran mikro untuk mengeluarkan maknanya mengikut perspektif saya.

Asal usul insan dalam sajak ini adalah seorang pelacur “ High Class “ . Ini di gambarkan oleh bait-bait berikut : Pernah dia berjumpa sebuah beg plastik berisi wang selaksa milik si cuai yang kaya tapi hingga kini peristiwa ini masih lagi baginya suatu babak
mimpi siang hari.

Tapi mungkin dia seorang yang bodoh , maka beliau tidak mengambil peluang mengikis harta si kaya tersebut dan apabila madunya / manisnya hilang dan sudah basi , beliau telah menjadi insan terbuang ke kawasan pelacuran bertaraf rendah yang terpaksa melakukan pekerjaan jijik tersebut kerana apabila cuti atau berehat maka banyak wang akan terlepas begitu saja. Melacur sajalah sumber rezekinya. Dimakan api atau bumi mungkin perlambangan masa atau waktu( mungkin waktu datang kotor / sakit tak mampu melacur ).

Sebagai makhluk sosial , maka pelacur juga mempunyai kawan yang senasib dengan mereka. Mungkin ada di antara mereka telah melahirkan anak haram hasil kegiatan mereka yang mencari rezeki secara haram tersebut. Anak bermakna rezeki tambah-tambah lagi kalau comel dan cantik tapi kawannya melahirkan anak haram yang sumbing , maka siapakah yang sudi mengambil bayi itu sebagai anak angkat ? Apakah nasib bayi ( rezeki ) tersebut mungkin dapat dibayangkan oleh para pembaca sendiri. Nasib baik di tinggalkan di surau , di gereja , di tokong atau mana-mana tempat dan dibela oleh manusia yang budiman. Jika tidak nasib bayi tersebut akan berada dalam TONG SAMPAH YANG SEBENAR.

Seandainya bayi itu sempurna dan comel , pengulas pasti itu memang menjadi rezeki kerana bayi itu pasti akan dijual kepada pihak tertentu untuk memperolehi wang yang banyak tapi sayang insan tersebut terpaksa “ menolak rezeki “ kerana cacat dan tidak berharga di pasaran. Kalau bayi itu hasil dari perkahwinan yang sah , tiada manusia yang tergamak menolak rezeki tersebut walaupun cacat , buta , sumbing , bisu , lahir tidak cukup bulan ,pekak , down sindrom , hidung kemek dan sebagainya.

Kesimpulannya : Puisi membawa tema kehidupan / pengalaman peribadi dan juga universal. Sifat puisi khasnya dan kesusasteraan amnya adalah begitu peribadi dan universal. Sesebuah puisi akan dianggap berjaya jika masalah peribadi dan universal itu dijalin dengan teknik bahasa yang berseni ( Panel Hakim – Lelaki Dan Sebilah Pedang Tajam – Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000)

Itulah makna – MENOLAK REZEKI tersebut. Mungkin sajak ini akan termasuk dalam senarai pendek dan ada harapan menang Hadiah Utama Sastera Perdana Malaysia. Insya-Allah.





0 comments:

Post a Comment